ShaShinKi.com - Malaysia's Online Camera Shop!

Studio Jurugambar Stock Photo



Inilah studio milik jurugambar stock photography terkenal - Yuri Arcurs. Lihat sendiri betapa besarnya studio beliau, penuh dengan berbagai set dan props.

Sumber : FOTOTEACHER.COM

Noise Fanatic

Saya masih lagi menggunakan kamera lama iaitu sebuah kamera DSLR keluaran 2005. Model tersebut menggunakan sensor CCD dan mempunyai tahap ISO maksima hingga 1600 seperti mana kebanyakan DSLR pada zaman tersebut. Kebiasannya saya tidak menggunakan ISO yang terlalu tinggi kerana noise akan kelihatan terlalu ketara. Kebanyakan DSLR masa kini menghasilkan imej yang lebih bersih dengan menggunakan sensor dan cip yang lebih maju.

Ini bukanlah masalah yang besar bagi saya kerana kamera tersebut paling kerap digunakan untuk mengambil gambar makro menggunakan flash yang mana ISO 100 sudah memadai. Apabila saya menggunakannya dalam situasi cahaya malap, saya tidak keberatan untuk menaikkan ISO jika perlu asalkan foto tersebut dapat dirakam dengan baik. Kebiasaannya saya lebih gemar untuk menaikkan ISO berbanding menurunkan kelajuan shutter di bawah paras minima.

Ada juga orang yang begitu taksub untuk mendapatkan foto yang bersih daripada noise. Beberapa kenalan saya sungguh teliti apabila melihat gambar dan akan meneropong hingga 100% untuk mencari noise. Apabila model kamera baru keluar, mereka akan meneliti foto contoh dan mula meneropong untuk mencari noise, kemudian membuat perbandingan dengan model kamera lain. Mereka berpegang kepada fahaman yang percaya bahawa foto digital yang bagus tidak boleh ada noise.

Memang terdapat beberapa jenis penggunaan gambar yang mana kadar noise adalah perkara yang perlu dikawal dengan teliti. Contohnya penjualan melalui stock photo mensyaratkan semua gambar yang dihantar adalah bersih. Agensi berita juga amat cerewet dalam hal noise untuk memastikan kualiti yang tertinggi. Tetapi, bagi peminat fotografi peringkat amatur, noise tidak sepatutnya dijadikan kayu ukuran yang terlalu tinggi terutamanya jika kebanyakan foto yang dirakam bukan untuk dicetak. Lagipun, terdapat perisian yang boleh mengurangkan noise seperti Noise Ninja, Neat Image dan Noiseware.

Gambar dibawah diambil pada ISO 1600 tanpa menggunakan flash. Oleh kerana cahaya kurang menyebelahi saya dan kanak-kanak tersebut sentiasa bergerak, saya menggunakan ISO maksima untuk mendapatkan kelajuan shutter setinggi mungkin. Untuk kegunaan sendiri, ini sudah lebih dari memadai.


Jika penggunaan kita lebih banyak tertumpu kepada perkongsian gambar di internet, noise bukan lah isu yang terlalu kritikal. Kita juga boleh menggunakan noise untuk menampakkan impak yang lebih seperti yang selalu kita lihat dalam foto hitam putih. Selagi noise tidak mengganggu details pada subjek utama (contohnya tekstur kulit), tidak perlu diambil pusing berlebihan. Adalah lebih baik jika kita memberi tumpuan untuk mendapatkan pencahayaan, moment and komposisi yang sesuai. Saya percaya ini akan lebih membantu peminat senifoto untuk menikmati hobi ini.

Adakah anda seorang yang terlalu mementingkan tahap noise? Mengapa anda berfikir demikian? Adakah anda dalam kategori sebaliknya yang tidak begitu kisah tentang tahap noise pada gambar? Harap anda dapat kongsikan pendapat anda di sini. Sila tulis pendapat anda di ruangan komen di bawah.

Oleh Amir Ridhwan untuk FOTOTEACHER.COM

Image Stabilizer (IS)

Bagi pengguna sistem Nikon dan Canon, faktor lensa yang mempunya stabilizer (VR untuk Nikon dan IS untuk Canon; VR bermaksud Vibration Reduction manakala IS bermaksud Image Stabilizer) selalu dipertimbangkan terutamanya apabila seseorang itu ingin membeli lensa telephoto. Pada lensa yang mempunya spesifikasi sama seperti Nikkor 70-300mm f4-5.6, terdapat versi VR dan non-VR dengan perbezaan harga antara keduanya adalah 4 kali ganda. Adakah stabilizer dalam fotografi digital begitu berharga?


Sistem IS dalam lensa yang digunakan oleh Canon


Sistem IS dalam badan kamera yang digunakan oleh Sony

Terdapat 2 jenis sistem stabilizer - Nikon dan Canon memasangnya di dalam lensa, manakala Sony, Pentax dan Olympus penggunakan IS pada sensor di dalam kamera. Kedua-duanya mempunya sensor pengesan gegaran dan cip khas akan melakukan pengiraan yang mana menggerakkan sebuah motor ultrasonic untuk mengurangkan kesan gegeran. Untuk sistem IS pada lensa, motor tersebut akan menggerakkan satu kumpulan elemen dalam lensa yang bertindak untuk membetulkan kesan gegaran sebelum cahaya masuk ke kamera. Oleh itu kesan IS dapat dilihat melalui viewfinder. Sistem IS dalam kamera pula tidak mempunya elemen tambahan dan hanya menggerakkan sensor supaya ‘mengejar’ imej yang bergerak disebabkan kamera yang bergegar.

Sistem IS di dalam kamera membolehkan semua jenis lensa menikmati teknologi IS, ini termasuklah lensa daripada apa jua jenama dan model asalkan boleh dipasang pada kamera tersebut. Konsep ini jelas memberikan kelebihan ekonomi dan kepelbagaian. Satu lagi kelebihannya ialah ia tidak memerlukan elemen tambahan dalam lensa oleh itu sistem IS sebegini tidak mempengaruhi kualiti imej. Kelebihan bagi sistem IS dalam lensa pula ialah setiap cip IS dan elemen IS boleh direka dan diprogram untuk mendapatkan hasil optimum untuk lensa terbabit.

Berbalik kepada persoalan sejauh mana keberkesanan sistem IS ini, adalah penting untuk faham fungsi IS. Saya letakkan sebegini:

1. Fungsi utama IS ialah untuk membolehkan foto dirakam pada kelajuan shutter yang lebih rendah daripada biasa, tanpa kesan gegaran. Umumnya kelajuan shutter adalah 1/(jarak fokus pada format 35mm). Contohnya lensa 100mm untuk kamera APS-C Nikon memerlukan kelajuan shutter 1/150 saat tanpa IS. Dengan IS, kelajuan boleh dikurangkan.
2. IS hanya membantu mengurangkan gegaran pada kamera atau lensa. Ia langsung tidak membantu untuk membekukan pergerakan subjek.
3. IS membolehkan imej dirakam jelas pada kelajuan shutter yang lebih rendah yang mana sukar akibat kesan gegaran tangan namun ada hadnya.
4. Kesan IS kepada pengguna adalah berbeza. Jurugambar baru biasanya mendapat lebih manafaat kerana kurang mahir dengan posisi memegang kamera. Jurugambar yang mahir boleh mengurangkan kesan gegaran dengan teknik tertentu. Oleh itu IS hanya membantu sedikit sebelum fungsinya mencecah had keberkesanan.
5. IS lebih membantu pada jarak fokus yang tinggi pada lensa telephoto kerana kesan gegaran digandakan.
6. IS meningkatkan penggunaan bateri.

Kesan IS adalah lebih kepada meningkatkan peratusan foto yang elok pada kelajuan shutter tertentu. Ini kerana kesan gegaran adalah rawak dan banyak dipengaruhi oleh faktor fizikal jurufoto. Jika anda mendapat 50% gambar yang tajam pada kelajuan tertentu, dengan IS peratusan mungkin meningkat kepada 70-80% dengan kelajuan yang sama. Kesan ini adalah rawak kerana ia bergantung kepada gegaran tangan anda ketika menekan shutter release button pada masa yang tertentu.

Tiada benchmark khusus untuk menilai keberkesanan IS antara berbagai jenama. Apa yang diwartakan dalam kempen pemasaran tidak seharusnya dijadikan ukuran kerana keberkesanan IS adalah relatif pada individu. Contohnya, jika saya menggunakan lensa 100mm, saya boleh mengambil foto yang jelas pada 1/40 saat dengan bergantung kepada pengalaman dan kemahiran. Jika saya guna IS, boleh dapat 1/20 saat yang memberikan kelebihan 1EV. Individu lain yang kurang berpengalaman mungkin memerlukan 1/160 saat tanpa IS dan hanya perlu 1/40 saat dengan IS. Justeru memberikan kelebihan 2EV. Benchmark patut dilakukan oleh individu sendiri untuk menilai sejauh mana IS berkesan kepada teknik fotografi beliau.

Oleh Amir Ridhwan untuk FOTOTEACHER.COM

Lens Coating

Terdapat pelbagai jenis lensa di pasaran dan setiap satu memberikan kualiti yang berbeza. Lensa kamera dibina dengan menggabungkan beberapa elemen kaca dalam bentuk dan susunan tertentu. Antara tujuan kombinasi elemen ini adalah untuk menghindarkan kesan seperti distortion (Herotan) dan warna yang tidak seimbang. Secara umumnya, kualiti imej meningkat dengan jumlah glass element yang digunakan kerana lebih banyak kecacatan optik dapat dibuang. Sebagai contoh, penggunaan elemen ED (Extra Low-Dispersion) dapat mengurangkan kesan chromatic aberration. Tetapi dengan lebih banyak elemen, kesan pantulan cahaya adalah lebih tinggi kerana setiap elemen akan memantulkan sedikit cahaya pada permukaannya. Pantulan ini mengurangkan kualiti imej dan jumlah cahaya yang dihasilkan oleh lensa tersebut.


Pantulan pada permukaan sensor

Satu masalah yang timbul dengan DSLR ialah permukaan sensor kamera digital turut memantulkan cahaya. Apabila pantulan daripada sensor dipantulkan kembali oleh lensa, kecacatan imej yang dikenali sebagai ghosting terhasil. Pada imej tersebut akan kelihatan cahaya berbentuk seakan-akan bulat atau cincin yang tidak begitu jelas. Flare pula adalah kesan apabila cahaya berpantul dan berselerak di dalam lensa lalu menyebabkan kontras tidak seimbang. Kesan sebegini biasanya berlaku apabila lensa dihadapkan ke arah punca cahaya yang kuat.


Kesan pantulan dalaman mencacatkan foto seperti tompok biru di sini.

Untuk mengurangkan kesan sebegini, lensa moden diselaputi oleh satu selaput yang dinamakan lens coating yang mengurangkan pantulan. Teknologi coating adalah satu cabang penting dalam industri optik kerana coating yang sesuai memberi kesan kepada imej daripada lensa tersebut. Kesan yang lebih elok boleh diperolehi dengan menggunakan beberapa lapisan coating atau lebih dikenali sebagai multi-coating (MC). Perbezaan lapisan coating boleh dilihat jelas daripada contoh ini.


Zuiko 35mm f2.8 single coat


Zuiko 35mm f2.8 multi coat

Nikon membina Nano Crystal Coating yang menggunakan lapisan zarah yang amat halus supaya cahaya dalam spektrum tertentu tidak dipantulkan pada permukaan lensa. Canon pula menggunakan teknologi SWC dengan zarah coating yang tidak sekata dan mempunyai ketumpatan berbeza pada permukaan elemen. Lapisan coating bersegi pada SWC menyebabkan cahaya tidak dapat dipantulkan dengan sempurna dan ini mengurangkan kekuatan pantulan.

Beberapa model lensa yang baru di pasaran menggunakan teknologi coating terkini dan menghasilkan imej yang lebih elok berbanding model lama. Ini adalah antara ciri-ciri lensa yang kurang diberi perhatian oleh pengguna tetapi banyak mempengaruhi kualiti imej yang dihasilkan. Pengeluar seperti Nikon ada mengeluarkan lensa model lama dengan tambahan Nano Coating yang baru seperti Nikkor AF-S 60mm f2.8 macro.

Oleh Amir Ridhwan untuk FOTOTEACHER.COM

Sekiranya anda ingin melihat atau membeli lensa baru dan terpakai, saya cadangkan anda layari laman web Shashinki.com dan dapatkan lensa pilihan anda di sini. Anda boleh buat belian berbagai peralatan fotografi di sini secara online dan barang yang anda inginkan akan dihantar terus ke rumah anda. ShaShinKi.com - Malaysia’s Online Camera Shop!

Produk Menarik - XSHOT



Sekarang ini, banyak aksesori atau gadget fotografi yang pintar dan menarik dijual untuk menjadikan fotografi lebih mudah dan menyeronokkan. Salah satu produk yang dimaksudkan ialah xshot. Produk ini membolehkan anda merakam gambar sendiri tanpa menggunakan tripod. Namun, hanya kamera yang ringan sahaja sesuai digunakan dengan produk ini. Untuk maklumat lanjut, sila layari laman web - http://www.xshotpix.com

Sumber : www.fototeacher.com

Bateri Sebagai Nyawa Kamera



Berbeza dengan kamera SLR manual zaman filem, kamera digital amat bergantung kepada bateri. Ini kerana, hampir keseluruhan komponen dalam kamera digital dikawal oleh sistem elektronik yang merangkumi auto focusing, pembacaan meter dan pelepasan shutter. Tanpa bateri, kamera digital tidak boleh digunakan sama sekali.

Dengan bateri yang baru dicas, DSLR saya boleh mendapat antara 1,000 hingga 1,300 foto tanpa menggunakan flash. Jumlah yang berbeza ini bergantung kepada tempoh kamera dalam keadaan standby, kadar penggunaan autofocus dan paparan gambar yang baru sahaja dirakam. Saya mempunyai sebuah bateri simpanan yang saya bawa ke majlis penting dan juga ketika mengikuti ekspedisi ke kawasan hutan yang terpencil.

Pengetahuan tentang keupayaan bateri dan penjagaannya membolehkan kita sentiasa memiliki peratan dalam keadaan yang bersedia. Antara perkara yang paling melecehkan ialah apabila kamera kita kehabisan bateri ketika sedang rancak mengambil gambar. Bagi jurufoto profesional, ini sudah tentu mencabar imej dan menganggu daya tugas. Kehabisan kuasa bateri selalunya lebih teruk daripada kehabisan ruang simpanan dalam kad memori.

Kebanyakan DSLR menggunakan bateri lithium-ion yang boleh dicas semula. Bateri ini datang dengan bentuk dan sambungan yang tersendiri untuk jenama dan model tertentu. Biasanya bateri sebegini amat mahal tetapi mampu membekalkan cas yang banyak. Kelemahannya ialah jika berlaku kecemasan, anda perlu menggunakan bateri simpanan yang sama jenis atau tunggu sehingga bateri anda siap dicas.

Pentax adalah satu-satunya sistem DSLR yang membolehkan bateri saiz AA digunakan pada kameranya. Kebiasaannya pemilik Pentax menggunakan bateri rechargable seperti yang digunakan pada unit flash tetapi jika dalam keadaan terdesak, beliau boleh menggunakan bateri alkaline biasa yang boleh dibeli di mana-mana kedai runcit. Kelebihan ini lebih bermakna apabila anda terpaksa pergi ke kawasan yang tidak membolehkan anda mengecas bateri seperti hutan atau negara yang mempunyai sistem voltage berbeza.

Apabila bateri kamera semakin lemah, foto yang dihasilkan berkemungkinan kurang baik. Sistem autofocus akan lebih lembab dan noise akan kelihatan lebih jelas. Ini kerana cas bateri yang kurang menyebabkan motor autofocus tidak mendapat kuasa yang mencukupi. Pada unit pemprosesan imej pula, kuasa yang kurang menyebabkan proses menghasilan imej menjadi kurang berkesan.

Jika bateri anda sudah lemah tetapi anda perlu mengambil gambar yang penting, beberapa kaedah mudah boleh membantu anda mendapatkan beberapa frame ekstra:

1. Matikan sistem stabilizer.
2. Matikan sistem autofocus.
3. Matikan LCD maklumat dan live view.
4. Matikan sistem noise reduction dalam kamera.
5. Jangan guna built-in flash dan AF illuminator.

Yang lebih penting, pastikan anda mengecas bateri sebelum keluar dan bawa bekalan secukupnya kerana bateri adalah nyawa kamera anda.

Jika anda bercadang untuk membeli bateri kamera tambahan, saya cadangkan anda membelinya secara online dari Shashinki.com. Terdapat berbagai jenis bateri boleh dibeli dari laman web ini dan harganya juga amat berpatutan. Anda tidak perlu bersusah payah ke kedai, barang yang anda beli akan dihantar dengan selamat terus ke rumah anda! Sila klik di sini - ShaShinKi.com - Malaysia’s Online Camera Shop!

Oleh Amir Ridhwan untuk FOTOTEACHER.COM

Peralatan Penting untuk Jurufoto Profesional

Di dalam video ini, Greg Hren - seorang jurufoto komersial menerangkan mengenai peralatan dan aksesori kamera yang sering beliau bawa ketika bertugas. Jelas sekali, beliau adalah seorang yang teliti dan bekerja secara sistematik bagi menjamin setiap tugasan dapat dijalankan dengan baik. Sila tonton video ini (bahagian 1 dan 2), pasti anda dapat belajar sesuatu darinya. Untuk melihat laman web Greg Hren, sila layari - http://www.greghren.com



Membawa Kamera di dalam Penerbangan



Apabila anda ingin membawa peralatan kamera bersama-sama anda di dalam penerbangan. Sebolehnya, bawalah kamera anda secara hand-carry iaitu dibawa bersama dengan anda ke dalam kapal terbang, bukan secara checked-in luggage iaitu disimpan di tempat penyimpanan barang di dalam perut kapal terbang. Ini kerana, kamera yang dibawa melalui checked-in luggage lebih berisiko untuk rosak atau hilang.

Apabila anda memasukkan beg kamera anda melalui checked-in luggage, tiada jaminan beg kamera anda akan dikendalikan dengan cermat walaupun anda menampal sticker ‘fragile’ disekeliling beg anda. Kamera adalah barang yang mudah rosak jika tidak dikendalikan dengan cermat. Jadi anda tidak harus mengambil risiko ini. Bagaimana pula jika anda letakkan kamera anda di dalam beg keras yang tahan lasak dan dimasukkan melalui checked-in luggage? Dengan cara ini, peralatan kamera anda mungkin akan selamat dari kerosakan, tetapi, ianya tetap berisiko untuk dicuri oleh pekerja yang mengendalikan bagasi anda! Memang terdapat banyak kes kecurian terhadap barang berharga milik penumpang yang dimasukkan ke checked-in luggage. Jika anda benar-benar terpaksa memasukkan beg berisi kamera melalui checked-in luggage, pastikan beg anda berkunci dan tidak mudah dipecahkan atau ditebuk.

Untuk ke sesuatu destinasi, biasanya anda akan membawa 2-3 beg bersama anda. Anda boleh masukkan beg pakaian dan lain-lain barang kurang berharga melalui checked-in luggage. Kumpulkan semua barang berharga dengan kamera anda dan bawa bersama secara hand-carry ke dalam pesawat. Tetapi, pastikan beg yang anda bawa bersama secara hand-carry tidak melebihi saiz dengan dimensi 56cm X 36cm X 23cm. Beg ini juga mestilah boleh muat dimasukkan dalam ruang penyimpanan barang di atas tempat duduk di dalam pesawat. Beg ini juga mestilah muat diletakkan di bawah tempat duduk di bahagian depan kaki anda.

Ketika artikel ini ditulis, Air Asia membenarkan satu bagasi hand-carry tidak melebihi 7kg dibawa bersama anda manakala Malaysia Airlines membenarkan satu bagasi hand-carry tidak melebihi 5kg bagi penumpang Kelas Ekonomi disamping anda dibenarkan untuk membawa aksesori lain bersama anda seperti beg tangan dan kamera yang disandang. Untuk penumpang First Class dan Business Class untuk Malaysia Airlines, penumpang dibenarkan untuk membawa 2 bagasi yang beratnya tidak lebih 5kg setiap satu. Namun, peraturan ini biasanya tidak begitu ketat bergantung kepada budi bicara petugas pada waktu itu. Adakalanya penumpang Kelas Ekonomi dibiarkan membawa 2 bagasi secara hand-carry dan tanpa menimbang berat setiap bagasi yang dibawa. Tetapi, sebaiknya, patuhilah peraturan yang telah ditetapkan.

Untuk maklumat terbaru dan paling tepat, anda perlulah mendapatkan maklumat mengenai saiz dan berat bagasi hand-carry dari syarikat penerbangan yang akan anda gunakan. Tetapi, apa yang penting ialah - pastikan anda membawa peralatan kamera anda secara hand-carry ke dalam pesawat.

Oleh Hasnuddin Abu Samah untuk FOTOTEACHER.COM

MP3 Download

Share & Care

Language Tools

Followers

Labels

ShoutMix


ShoutMix chat widget