ShaShinKi.com - Malaysia's Online Camera Shop!

Mengenali Subjek

Pengetahuan berkenaan subjek yang kita rakam adalah satu perkara yang penting jika kita ingin menghasilkan foto yang baik. Jurugambar profesional sentiasa mengkaji subjek yang mereka pilih agar dapat membuat persiapan yang sewajarnya. Perkara ni meliputi semua aliran fotografi tanpa mengira peralatan yang anda miliki. Jika anda ingin mendapatkan masterpiece, kenalilah subjek anda dengan lebih dekat.

Jurufoto potret seringkali berinteraksi dengan subjek sebelum sesi penggambaran dimulakan. Mereka akan berbual tentang pelbagai perkara meliputi keluarga, pekerjaan dan kampung halaman. Saya sentiasa berbual kosong dengan subjek manusia ketika melakukan persiapan penggambaran supaya dapat membina kemesraan dan kepercayaan. Perbualan bukan sahaja bertujuan untuk ice breaking tetapi yang lebih penting ialah untuk kita mengenali peribadi beliau supaya ia dapat membantu kita untuk menzahirkan kecantikan asli subjek berkenaan. Foto yang cantik dihasilkan apabila subjek tersebut mengukir senyuman bukannya kepada kamera yang tidak bernyawa tetapi kepada jurugambarnya. Raut muka dapat dirakam dengan lebih neutral dan ikhlas, satu perkara yang sukar dicapai apabila bekerja dengan orang yang tidak dikenali.

Apabila kita melakukan penggambaran dengan subjek bukan manusia, sudah tentu kita tidak boleh berbual dengan subjek berkenaan. Sebagai contoh apabila kita merakam pemandangan di kampung atau mercu tanda sebuah bandar, pengetahuan tentang tempat tersebut membolehkan kita tahu sudut apa yang terbaik untuk dirakam. Kita tidak perlu tercari-cari lokasi yang sesuai yang akan memenatkan badan dan merosakkan mood. Kita juga boleh menganggar waktu yang sesuai untuk mengambil foto di lokasi terbabit, mungkin cahaya lebih cantik di pagi hari apabila matahari naik di timur atau mungkin di bulan Mac ketika burung berhijrah yang memberikan impak kepada suasana.

Untuk jurugambar nature, pengetahuan tentang subjek tidak dapat dielakkan. Penggemar burung sentiasa tahu waktu penghijrahan burung, habitat, tabiat dan makanan yang digemari setiap species. Jurufoto makro pula harus tahu bagaimana untuk mencari subjek yang diinginkan dan juga cara yang sesuai untuk menghampiri subjek tanpa mengganggunya. Menjangka tindak balas subjek tersebut sangat penting supaya kita boleh bersiap sedia untuk mendapatkan foto yang jarang dirakam oleh orang lain. Silap langkah walaupun sedikit akan menyebabkan peluang keemasan terlepas.

Jurufoto harus belajar untuk membuat kaji selidik berkenaan subjek yang dipilih sebelum penggambaran dimulakan untuk mendapat hasil terbaik. Tiada jalan singkat untuk mengenali subjek anda selain daripada mengambil inisiatif sendiri untuk menimba maklumat yang diperlukan. Inilah antara perkara yang melampaui batasan teknikal dan kenapa sesetengah jurufoto terkenal hanya perlu berbekalkan peralatan yang minima ketika melakukan tugasan.

Pengetahuan yang mendalam tentang tabiat dan habitat tarantula tropika adalah penting untuk menjejak labah-labah ini yang sensitif dan hanya aktif di waktu malam.

Apakah subjek kegemaran anda? Apakah bidang pengkhususan anda? Bagaimana cara anda mengenal subjek anda dengan lebih mendalam? Harap anda dapat kongsi pengalaman dan pendapat anda bersama pembaca lain di sini. Sila tulis di ruangan komen di bawah. Terima kasih.

Oleh Amir Ridhwan untuk FOTOTEACHER.COM

Leave a Reply

MP3 Download

Share & Care

Language Tools

Followers

Labels

ShoutMix


ShoutMix chat widget