ShaShinKi.com - Malaysia's Online Camera Shop!

Membawa Kamera di dalam Penerbangan



Apabila anda ingin membawa peralatan kamera bersama-sama anda di dalam penerbangan. Sebolehnya, bawalah kamera anda secara hand-carry iaitu dibawa bersama dengan anda ke dalam kapal terbang, bukan secara checked-in luggage iaitu disimpan di tempat penyimpanan barang di dalam perut kapal terbang. Ini kerana, kamera yang dibawa melalui checked-in luggage lebih berisiko untuk rosak atau hilang.

Apabila anda memasukkan beg kamera anda melalui checked-in luggage, tiada jaminan beg kamera anda akan dikendalikan dengan cermat walaupun anda menampal sticker ‘fragile’ disekeliling beg anda. Kamera adalah barang yang mudah rosak jika tidak dikendalikan dengan cermat. Jadi anda tidak harus mengambil risiko ini. Bagaimana pula jika anda letakkan kamera anda di dalam beg keras yang tahan lasak dan dimasukkan melalui checked-in luggage? Dengan cara ini, peralatan kamera anda mungkin akan selamat dari kerosakan, tetapi, ianya tetap berisiko untuk dicuri oleh pekerja yang mengendalikan bagasi anda! Memang terdapat banyak kes kecurian terhadap barang berharga milik penumpang yang dimasukkan ke checked-in luggage. Jika anda benar-benar terpaksa memasukkan beg berisi kamera melalui checked-in luggage, pastikan beg anda berkunci dan tidak mudah dipecahkan atau ditebuk.

Untuk ke sesuatu destinasi, biasanya anda akan membawa 2-3 beg bersama anda. Anda boleh masukkan beg pakaian dan lain-lain barang kurang berharga melalui checked-in luggage. Kumpulkan semua barang berharga dengan kamera anda dan bawa bersama secara hand-carry ke dalam pesawat. Tetapi, pastikan beg yang anda bawa bersama secara hand-carry tidak melebihi saiz dengan dimensi 56cm X 36cm X 23cm. Beg ini juga mestilah boleh muat dimasukkan dalam ruang penyimpanan barang di atas tempat duduk di dalam pesawat. Beg ini juga mestilah muat diletakkan di bawah tempat duduk di bahagian depan kaki anda.

Ketika artikel ini ditulis, Air Asia membenarkan satu bagasi hand-carry tidak melebihi 7kg dibawa bersama anda manakala Malaysia Airlines membenarkan satu bagasi hand-carry tidak melebihi 5kg bagi penumpang Kelas Ekonomi disamping anda dibenarkan untuk membawa aksesori lain bersama anda seperti beg tangan dan kamera yang disandang. Untuk penumpang First Class dan Business Class untuk Malaysia Airlines, penumpang dibenarkan untuk membawa 2 bagasi yang beratnya tidak lebih 5kg setiap satu. Namun, peraturan ini biasanya tidak begitu ketat bergantung kepada budi bicara petugas pada waktu itu. Adakalanya penumpang Kelas Ekonomi dibiarkan membawa 2 bagasi secara hand-carry dan tanpa menimbang berat setiap bagasi yang dibawa. Tetapi, sebaiknya, patuhilah peraturan yang telah ditetapkan.

Untuk maklumat terbaru dan paling tepat, anda perlulah mendapatkan maklumat mengenai saiz dan berat bagasi hand-carry dari syarikat penerbangan yang akan anda gunakan. Tetapi, apa yang penting ialah - pastikan anda membawa peralatan kamera anda secara hand-carry ke dalam pesawat.

Oleh Hasnuddin Abu Samah untuk FOTOTEACHER.COM

Leave a Reply

MP3 Download

Share & Care

Language Tools

Followers

Labels

ShoutMix


ShoutMix chat widget